
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kenaikan kadar dividen Lembaga Tabung Haji sebanyak 3.50 peratus pada tahun ini merangsang minat pendeposit untuk terus menabung dan memperkukuh simpanan dalam akaun haji masing-masing.
- Pendeposit di Melaka anggap agihan dividen pulangan kompetitif dan dorongan meningkatkan simpanan untuk persiapan menunaikan haji.
- Pesara Hamzah menyambut baik pengumuman dividen, menganggapnya berita baik dan kegembiraan menjelang musim perayaan.
- Pekerja swasta Norafiqa berkata peningkatan dividen memberi keyakinan terhadap pertumbuhan simpanan dan peluang menunaikan haji.
- Agihan RM3.22 bilion memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit; Tabung Haji disyorkan sebagai pelaburan jangka panjang.
Di Melaka, tinjauan RTM mendapati rata-rata pendeposit menyifatkan agihan dividen itu bukan sahaja memberi pulangan yang kompetitif, malah menjadi dorongan untuk meningkatkan simpanan sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.
Seorang pesara, Hamzah Muhammad berkata pengumuman dividen tersebut disambut baik, terutama menjelang musim perayaan.
“Alhamdulillah setakat ini, ini yang terbaik… memang lama kita tunggu Tabung Haji umumkan dividen dan ini berita baik untuk semua rakyat Malaysia yang menabung di Tabung Haji,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Norafiqa Jamal, peningkatan dividen itu memberi keyakinan terhadap pertumbuhan simpanan sekali gus membuka peluang untuk menunaikan haji pada masa depan.
“Bila ada dividen, jumlah dalam akaun itu bertambah… mungkin dengan pertambahan itu memungkinkan saya untuk pergi haji satu hari nanti, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fairoz Yasak yang juga bilal menyifatkan Tabung Haji sebagai instrumen pelaburan terbaik untuk umat Islam merancang kewangan jangka panjang.
“Saya rasa ini satu pelaburan yang baik… saya sangat menyarankan umat Islam untuk melabur dalam Tabung Haji,” katanya.
Agihan dividen berkenaan membabitkan jumlah keseluruhan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.