fb fb fb fb fb

Diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari daripada kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 yang akan disambut pada 29 dan 30 Januari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan, kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol terlibat yang dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

"Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.

"Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024," jelasnya menerusi kenyataan tersebut.

Tambahnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan potongan tol, selaras agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat didukung kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil daripada program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

Potongan kadar berkenaan akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam 27 Januari dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Dalam pada itu semua pengguna lebuh raya diharap dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol dan merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang.

"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).

"Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa," tambah kenyataan itu.

Pada masa sama pengguna disaran untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan.

"Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my.

"Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Alexander memaklumkan berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI