Diskaun tol 50 peratus: Pengguna lebuh raya jarak jauh terima manfaat lebih ketara


KUALA LUMPUR, 18 Mac Diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri tahun ini akan memberi kesan lebih ketara kepada pengguna lebuh raya jarak jauh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tol lebuh raya satu komponen penting selain petrol bagi mereka yang melakukan perjalanan antara negeri.
  • Pengurangan tol untuk perjalanan antara negeri melibatkan beberapa plaza tol menghasilkan penjimatan yang sangat bermakna.
  • Bagi pengguna jalan biasa atau penduduk berhampiran kampung, kesan diskaun ini lebih terhad.
  • Inisiatif jangka pendek ini mengurangkan kos perjalanan, membantu golongan kurang berkemampuan dan berpotensi merangsang perbelanjaan domestik jika diteruskan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Shahsuzan Zakaria berkata, tol lebuh raya merupakan komponen penting selain petrol bagi mereka yang melakukan perjalanan antara negeri.

“Bagi perjalanan antara negeri yang melibatkan beberapa plaza tol contohnya, pengurangan 50 peratus ini sudah pasti boleh menghasilkan satu penjimatan yang sangat bermakna kepada rakyat.

“Namun begitu bagi mereka yang menggunakan jalan biasa atau tinggal berdekatan kampung halaman kesan diskaun ini adalah lebih terhad kepada mereka,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut satu langkah yang baik dan relevan dalam jangka pendek kerana ia boleh mengurangkan kos perjalanan bagi sebahagian besar rakyat yang pulang ke kampung.

Pengurangan tol akan memberi ruang kepada kos lain seperti perbelanjaan keperluan asas bagi golongan kurang berkemampuan.

Sehubungan itu, Dr. Shahsuzan berharap inisiatif pemberian diskaun tol dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia mampu meringankan beban rakyat selain merangsang lagi perbelanjaan domestik.