KUALA LUMPUR, 22 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip RM1.03 juta hasil pembayaran saman pada hari pertama penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), setakat 3 petang tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 11,620 saman dengan diskaun 60% telah diselesaikan melibatkan 2,750 pengunjung.
“Bagi kempen kali ini, PDRM telah membuat persiapan teliti untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung dengan menyediakan 25 kaunter semakan dan bayaran saman termasuk tujuh kaunter khas dan 21 mesin e-payment, serta 520 kerusi untuk orang ramai menunggu.
"JSPT berhasrat memperluaskan kempen diskaun saman dan program 2TM ini sebagai peluncuran untuk diperluaskan ke seluruh negara," katanya.
Beliau ditemui pemberita di kaunter semakan dan bayaran saman trafik PDRM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Pengunjung juga boleh menjelaskan bayaran menerusi aplikasi MyBayar PDRM bagi menjimatkan masa tanpa perlu beratur panjang.
Kupon diskaun 60% boleh didapati di kaunter penebusan kupon MyBayar PDRM pada program 2TM.
Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai untuk menyegerakan bayaran saman agar tidak dikenakan undang-undang seperti waran tangkap dan disenarai hitam untuk urusan memperbaharui cukai jalan dan lesen.