fb fb fb fb fb

Dilanggar jerung paus, lima nelayan berdepan detik cemas

Kesemuan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Jeti Penarak, Langkawi

LANGKAWI, 4 Januari - Lima nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam akibat dilanggar sekumpulan jerung paus berhampiran Pulau Balar, di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya telah menggerakkan Bot Kilat 6 sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut.

"Nelayan berusia antara 23 hingga 58 tahun itu, berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

"Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Jeti Penarak, Langkawi," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Romli turut menasihati komuniti maritim supaya sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

“Sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, boleh menghubungi Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-9602750 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN