fb fb fb fb fb

Didakwa iring anak ahli Parlimen, polis buka kertas siasatan tatatertib dua anggota trafik

GEORGE TOWN, 8 Mei - Polis Pulau Pinang membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis trafik berhubung satu rakaman video yang tular di media sosial mengiringi orang awam menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan.

”Pada Sabtu (semalam) kira-kira pukul 8.36 malam, telah terkesan satu rakaman video tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun ‘anwarazeez’.

”Rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh anggota trafik menggunakan motosikal milik PDRM di Jalan Bukit Gambir. Pihak PDRM Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

(Syot layar memaparkan dua anggota polis trafik didakwa mengiringi sebuah kenderaan orang awam di Pulau Pinang)

Menerusi klip video itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang. 

 

Media Baharu