Dewan Rakyat lulus RUU RTS Link Johor Bahru- Singapura 2026

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026 bagi memperkukuh asas perundangan operasi pengangkutan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU RTS Link diluluskan untuk kukuhkan asas perundangan operasi pengangkutan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
  • Sistem tren lima minit kapasiti hingga 10,000 penumpang sejam tingkatkan kecekapan pergerakan harian penduduk.
  • Data biometrik disimpan di pusat data terkawal kerajaan Malaysia tanpa akses pihak berkuasa Singapura.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata RUU tersebut berdiri di atas tiga tunjang utama iaitu memperkasakan asas perundangan, melengkapi undang-undang sedia ada serta melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Dengan pengoperasian projek RTS Link ini, perjalanan menaiki tren antara Johor Bahru dan Singapura hanya mengambil masa kira-kira lima minit, dengan jadual perkhidmatan yang lebih teratur serta kemudahan pelepasan imigresen di satu lokasi.

“Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pergerakan rentas sempadan, malah mengembalikan masa berharga kepada rakyat yang berulang-alik untuk bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan yang telah dibahaskan 12 Ahli Parlimen sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Tambahnya, kerajaan turut memperuntukkan 100 unit pintu pagar automatik (e-gate) berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan tempoh pelepasan penumpang di stesen terlibat tidak melebihi tujuh saat.

Menyentuh isu kedaulatan data dengan maklumat sulit termasuk biometrik, beliau memberi jaminan bahawa ianya disimpan di pusat data yang dikawal selia sepenuhnya kerajaan Malaysia tanpa akses pihak berkuasa Singapura.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung 23 Februari ini, bagi memberi laluan kepada sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan minggu hadapan. ###