
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 yang bertujuan mengubah kadar pemberian mengikut bilangan orang setiap negeri mengikut struktur baharu.
- RUU akan dikaji semula setiap 10 tahun bagi memastikan pemberian negeri relevan, selepas tidak dikaji semula selama 24 tahun.
- Keputusan menyemak RUU secara berkala dianggap perkembangan positif antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
- Semakan seiring pelaksanaan bancian DOSM, dengan kerajaan berikrar menilai semula berdasarkan dapatan bancian setiap satu dekad.
- Jumlah pemberian Persekutuan termasuk capitation grant RM560 juta; keseluruhan kira-kira RM9.2 bilion untuk 2024, merangkumi pelbagai mekanisme.
Ia dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 15 Ahli Senator.
RUU itu akan dikaji semula setiap 10 tahun bagi memastikan mekanisme pemberian kepada kerajaan negeri kekal relevan dengan perkembangan semasa, selepas ia tidak dikaji semula selama 24 tahun sebelum ini.
Keputusan untuk menelitinya semula merupakan perkembangan positif yang dicapai secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Keputusan Kerajaan Persekutuan adalah untuk mengkaji semula undang-undang ini setiap 10 tahun, selaras dengan pelaksanaan bancian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dijalankan dalam tempoh tersebut.
“Berdasarkan dapatan bancian itu, kerajaan berikrar untuk menilai semula undang-undang berkenaan setiap 10 tahun.
“Perkara tersebut boleh dibincangkan di Dewan ini ataupun melalui kerajaan negeri dalam konteks Mesyuarat Majlis Kewangan Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Negara.
Pemberian mengikut bilangan orang merupakan sebahagian daripada mekanisme bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
Antaranya termasuk pemberian penyenggaraan jalan negeri (MARRIS), pemberian di bawah senarai bersama, bayaran perkhidmatan kepada negeri, serta pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup.
Selain itu, terdapat juga pemberian lain berasaskan akta atau keputusan Majlis Kewangan Negara dan Jemaah Menteri seperti pemberian cukai pelancongan, ecological fiscal transfer (EFT), pembiayaan lampu jalan dan lampu isyarat pihak berkuasa tempatan serta bantuan kepada perpustakaan negeri.
“Jumlah pemberian dari Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri secara jumlahnya untuk hanya kalau untuk capitation grant RM560 juta tetapi jumlah secara keseluruhan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri ialah RM9.2 bilion secara keseluruhan untuk tahun 2024.
“Jadi ini bermakna ia ada pelbagai pendekatan, pelbagai cara dan juga pelbagai mekanisme di bawah perlembagaan dan juga di bawah pendekatan lain,” katanya.