SHAH ALAM, 13 Oktober- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak teragak-agak untuk menutup mana-mana sekolah agama swasta di Selangor yang didapati terlibat dalam kes penderaan, gangguan seksual, atau tindakan yang bertentangan dengan prinsip asas Islam.
Menurut Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, mana-mana pihak terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001).
Jelasnya JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 Enakmen sama.
Beliau berkata peringatan berkenaan dikeluarkan susulan penemuan empat pelajar di sebuah tahfiz sekitar ibu kota yang mengalami kecederaan fizikal pada tubuh dipercayai akibat penderaan, selain disyaki menjadi mangsa amang seksual.
"Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar.
"Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan ruang pengajaran dan pembelajaran sebagai ruang bagi pelajar menjadi insan yang ikhlas dalam menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati para guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada para pelajar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, jelas Mohd Shahzihan, ibu bapa dan penjaga diingatkan sentiasa memerhati perkembangan anak-anak dari semasa ke semasa agar kelainan sikap dan tingkah laku dikesan di peringkat awal.
Katanya, menerusi tindakan itu dapat dihadapi dengan langkah sesuai dan tepat bagi mengekang daripada keadaan semakin buruk dan merosakkan masa depan pelajar.
Beliau berkata Seksyen 8 enakmen berkenaan juga memperuntukkan bahawa sekolah agama swasta boleh didakwa dan juga mendakwa pihak lain.
"Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga boleh mendakwa serta menuntut hak anak-anak mereka jika mereka tidak diperlakukan dengan selayaknya, supaya perkara tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata empat pelajar sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, yang ditemukan selamat di Bangi dua hari lalu setelah dilaporkan hilang sejak Selasa, didapati mempunyai kesan kecederaan yang disyaki akibat penderaan dan kesalahan seksual.
Berdasarkan keterangan awal, pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 14 tahun itu mendakwa mereka melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz tersebut.