PADANG TERAP, 28 November- Banjir yang melanda daerah Padang Terap bukan sahaja menenggelamkan tanaman pertanian seperti padi dan getah, malah turut menjejaskan Depo Lateks Kampung Kuala Pai di Kuala Nerang.
Menurut Pegawai RISDA Padang Terap, Muhammad Zaid Noh, depo berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari Sungai Padang Terap berisiko mengalami kerosakan teruk jika paras air terus meningkat.
Sebanyak 400 kilogram susu getah yang ditempatkan di depo itu berkemungkinan tidak dapat diselamatkan.
Ini merupakan kali kedua depo tersebut ditenggelami banjir selepas kejadian serupa pada tahun 2010.
Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Padang Terap dan daerah lain di Kedah termasuk menenggelamkan kebun getah di lokasi sekitar.