fb fb fb fb fb

DELIMa: 788 buku teks sekolah rendah dan menengah telah dimuatnaik

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Julai-Sebanyak 788 buku teks sekolah rendah dan buku teks sekolah menengah telah dimuat naik dalam Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, 580 buah buku telah diindekskan bagi memudahkan carian kepada guru dan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan pelantar tersebut turut menyediakan sebanyak 12,762 video pendidikan untuk kegunaan pengguna.

"Pelantar DELIMa dinaik taraf dan ditambah baik dari semasa ke semasa secara berterusan dengan fitur baharu bagi meningkatkan pengalaman pengguna, analisis data, kandungan dan pembelajaran diperibadikan.

"Berdasarkan laporan penggunaan sehingga 10 Julai 2024, seramai 90 peratus menggunakan pelantar DELIMa secara aktif bersamaan dengan 401,619 orang dan seramai 27 peratus murid bersamaan dengan 1,301,593 orang murid telah menggunakan pelantar DELIMa secara aktif", katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang meminta penjelasan berhubung langkah kementerian untuk mengoptimumkan penggunaan digital dalam pengajaran dan pembelajaran melalui Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) oleh guru dan pelajar.

Tambahnya, sebanyak 16 aplikasi berkaitan AI telah disediakan dalam pelantar DELIMa.

Daripada jumlah ini, sebanyak sembilan aplikasi AI seperti Gemini, Chat GPT, Bing AI, dan Conker AI berperanan membantu guru merancang pengajaran.

KPM turut menyediakan ID dan kata laluan kepada semua murid dan guru bagi membolehkan mereka mengakses kepada semua bahan yang terdapat di dalam pelantar.

Setakat ini, KPM mempunyai 5.3 juta pengguna dari kalangan murid dan guru.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD