KUCHING, 19 Januari- Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menyenaraikan sebanyak 28 acara menarik untuk warga Kuching sepanjang tahun ini.
Antara acara utama yang dimasukkan dalam kalendar acara tersebut ialah Bazar Ramadhan 2025, Festival Muzik Kuching, Kayuhan Hari Alam Sekitar, Larian Datuk Bandar DBKU, Kejohanan Pickleball Piala Datuk Bandar, Perarakan Jalanan Kuching dan Festival Kucing Antarabangsa Kuching.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, hari ini menyempurnakan pelancaran Kalendar Acara DBKU 2025 yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching.
Pelancaran tersebut juga bersempena dengan Perasmian Kuching Car Free Morning bagi tahun 2025.
Pelbagai acara berlangsung dalam program berkenaan seperti Pertandingan Larian 'Purr-fect' 2025, sesi senam aerobik serta perarakan Kuching Car Free Morning yang diiringi oleh Kumpulan Pancaragam DBKU.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut melancarkan Pertandingan Mereka Bentuk Laluan Larian Berbentuk Kucing yang bermula hari ini sehingga 19 Mac 2025.
Turut hadir adalah Datuk Bandar DBKU, Datuk Hilmy Othman.