PUTRAJAYA, 26 Januari – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat meneliti aspek pemberian lesen bazar Ramadan bagi memastikan kelancaran penganjuran tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata DBKL memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu pemberian lesen kepada peniaga yang benar-benar ingin berniaga serta penyelenggaraan bazar.
“DBKL sedang mempersiapkan pelan untuk memastikan lesen hanya diberikan kepada peniaga yang layak. Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan pihak korporat bagi memastikan penyelenggaraan bazar berjalan lancar. Saya yakin usaha ini akan berjaya, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Car Free Day (CFT) yang diadakan serentak dengan kempen Kibar Bendera sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025, di sini.
Tambah Dr. Zaliha, tiada isu besar yang timbul dengan persatuan penjaja setakat ini.
“Persatuan penjaja juga telah berbincang dengan Datuk Bandar mengenai beberapa perkara. Namun, saya belum menerima laporan terkini berkaitan isu tersebut,” tambahnya.