
KUALA LUMPUR, 6 April– Pemergian wartawan veteran, Datuk Karam Singh Walia merupakan satu kehilangan besar buat industri media negara.
- Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah melalui hantaran Facebook.
- Beliau memuji kualiti laporan mendiang sebagai standard tinggi dalam kewartawanan lapangan, memperjuangkan kepentingan rakyat.
- Penampilan mendiang sinonim dengan pantun penutup Buletin TV3 era 90-an hingga 2014, satu identiti unik.
- Beliau turut menyatakan simpati kepada keluarga, khususnya Jasbant Singh, Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu hantaran di Facebooknya menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh penyiaran veteran itu yang telah menyumbang bakti besar dalam dunia kewartawanan negara.
Beliau menyifatkan kualiti laporan yang dibawakan mendiang sebagai satu standard tinggi dalam kewartawanan lapangan yang sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3, khususnya dari era 90-an hingga sekitar tahun 2014, pasti cukup mengenali penampilan beliau yang begitu sinonim dengan pantun yang mengakhiri setiap laporan… satu identiti unik yang kekal dalam ingatan ramai.”
“Saya juga antara yang setia mengikuti laporan beliau dan amat menghargai dedikasi serta sumbangannya kepada dunia penyiaran,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Datuk Fahmi turut menyatakan simpati kepada seluruh keluarga mendiang, khususnya kepada saudara Jasbant Singh yang juga Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima.