PUTRAJAYA, 6 November- Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim baharu berkuat kuasa harini menggantikan Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.
Upacara kenaikan pangkat dan pelantikan itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Hamid, 59 tahun sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim.
Katanya, Hamid telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserap ke Maritim Malaysia sebagai pegawai perintis agensi pada Oktober 2005.
Memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi Maritim, beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 2019.
Atas sumbangan dan jasa beliau dalam perkhidmatan Maritim, Hamid telah menerima banyak pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Sri Melaka (D.S.P.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos lepas.
Dengan perlantikan itu, Maritim yakin Hamid akan meningkatkan lagi keupayaan aset dan kompetensi warga maritim melalui aspek penguatkuasaan disamping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agens tempatan dan luar negara.