ALOR SETAR, 29 Ogos- Pemilihan Dataran Medan Bandar Alor Setar sebagai pemenang Anugerah Dataran Warisan Islam Berprestij 2024 di Anugerah Pelancongan Islam Sedunia (WITA) 2024, baru-baru ini bakal merancakkan industri pelancongan di bandaraya Alor Setar khususnya sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Ia menunjukkan Bandaraya Alor Setar yang merupakan ibu negeri tertua di Malaysia yang dibuka oleh Sultan Kedah ke-19 iaitu Sultan Muhammad Jiwa Sultan Zainal Adilin Mu’adzam Shah II pada tahun 1735 itu mempunyai pelbagai keunikan dan keistimewaan tersendiri.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, Dataran Medan Bandar menjadi lokasi penganjuran pelbagai aktiviti termasuk aktiviti keagamaan, perarakan kemerdekaan dan sebagainya.
Selain itu, ia turut dikelilingi pelbagai monumen bersejarah terutama yang bercirikan Islam.
Antaranya, Masjid Zahir yang dibina pada tahun 1912 dan tersenarai antara 10 masjid tercantik di dunia; galeri Sultan Abdul Halim yang dahulunya merupakan Mahkamah Tinggi Alor Setar; Balai Nobat, Balai Besar, Balai Seni Negeri, Pekan Rabu, Rumah Merdeka, dan Menara Alor Setar.
"Penganugerahan ini diberi atas beberapa faktor antaranya menghargai usaha cemerlang dalam mempromosikan warisan Islam secara berterusan dan juga menghargai atas usaha MBAS memelihara warisan Islam khususnya di bandar Alor Setar ini dan insya-Allah kita di bandaraya Alor Setar ini akan terus mempromosikan dataran bandar melalui pelbagai program khususnya yang berkaitan aktiviti keislaman,"kata Datuk Bandar MBAS, Datuk Mohd Yusri Md Daud kepada RTM ketika ditemui di pejabatnya di Alor Setar.
Anugerah Dataran Warisan Islam Berprestij 2024 disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Datuk Mohd Yusri bersempena Asia Islamic Tourism & Trade Expo (AITEX) 2024 di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Kuala Lumpur, 26 Ogos lalu.