fb fb fb fb fb

Dasar TVET Negara dibawa ke kabinet, bakal dilancar pada Jun 2024

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui pemberita selepas melancarkan mynext TVET dan pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dijangka dilancarkan pada Jun, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata rangka dasar berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan kelulusan.

"Kita telah aktifkan sepenuhnya Majlis TVET Negara dan kita juga telah gerakkan sepenuhnya sekeretariat TVET Negara dan juga pelancaran dasar TVET Negara.

“Ia bukan satu dasar baharu tetapi penyelarasan aktiviti pendidikan TVET antara 12 kementerian dan pelarasan kepada 1,404 institusi TVET di seluruh negara, pihak kerajaan dan pihak swasta harus berkolaborasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran inisiatif mynext TVET dan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta, sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyarankan institusi TVET melaksanakan 70 peratus proses pembelajaran di bengkel, makmal dan lapangan dengan 30 peratus lagi pembelajaran di dalam kelas.

Beliau berkata inisiatif itu penting bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar TVET.

"mynext TVET adalah merupakan satu program untuk menterjemahkan visi alam pekerjaan dalam bidang baru di mana TVET menjadi pemangkin utama bagi penyediaan kursus atau pendidikan TVET ini kepada pakar kerja di negara kita," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN