KUALA LUMPUR, 30 November - Dakwaan bahawa dasar kerajaan yang lebih inklusif dan bertolak ansur terhadap bangsa lain bakal mengorbankan kepentingan masyarakat Melayu; merupakan satu dakwaan tidak berasas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebimbangan dan kepercayaan yang timbul mengenai perkara tersebut sama sekali tidak wajar.
Tegas beliau ketika ini bawah kerajaan semasa, perkara yang termaktub bawah Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas.
"Kerajaan yang saya ketuai iaitu Kerajaan MADANI bersama-sama rakan gabungan yang hebat sudah menyatakan dengan jelas bahawa perlembagaan terjamin, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, hak bumiputera, Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak akan dikompromi.
"Kerana, bukan hanya orang Melayu tetapi juga bukan Melayu termasuk dalam kabinet saya memahami bahawa pendirian dan dasar kerajaan ini sangat jelas, iaitu kita berada di sini untuk bersikap adil dan menganggap setiap rakyat Malaysia sebagai anggota dalam satu keluarga yang hebat," kata Anwar.
Beliau berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Malay College Old Boys Association (MCOBA) 2024, di Ibu Negara.
Dalam pada itu Anwar berkata, meskipun menyokong tindakan afirmatif namun kerajaan tidak mempercayai amalan diskriminasi.
Beliau mengakui pelaksanaan dasar tindakan afirmatif sebelum ini seperti dasar bumiputera telah dicemari oleh nepotisme; serta telah disalah guna untuk mengayakan keluarga serta pemimpin parti dengan cara mengorbankan masyarakat Melayu secara keseluruhan.
Meskipun begitu, beliau menyokong tindakan afirmatif versi moden yang lebih telus; yang memastikan bahawa manfaat diagih dengan lebih saksama kepada semua orang Melayu termasuk golongan miskin bandar dan masyarakat di luar bandar.
"Jadilah lebih telus dan membenarkan lebih ramai orang mendapat manfaat daripada ini seperti apa yang kita lihat dalam aspek pendidikan.
"Itulah sebabnya saya percaya kita perlu memberikan mesej dan pendedahan ini kepada orang Melayu bahawa meskipun kita mampu mengekalkan beberapa elemen dasar ekonomi, kita tidak boleh mengharapkan kejayaan jika kita mengabaikan prinsip keterangkuman," katanya.