fb fb fb fb fb

Dasar Kerajaan MADANI antara dibincang pemikir 'Atlantic Council'

Foto RTM

PUTRAJAYA, 10 Februari- Dasar Kerajaan MADANI, Kepengerusian ASEAN, Dasar Luar Malaysia, serta Dasar Pendidikan Negara adalah antara topik utama yang dibincang dalam sesi soal jawab bersama peserta 'Atlantic Council Millennium Leadership Program'.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kumpulan pemikir 'Atlantic Council' dalam program 'Malaysian Study Tour' terdiri daripada individu berpengaruh dan berpendidikan tinggi dari universiti-universiti ternama di seluruh dunia.

"Tujuan mereka berada di Malaysia adalah untuk memahami sistem pentadbiran, dasar, dan keadaan negara.

"Dalam sesi interaksi, mereka bertanya tentang pendidikan, Islam, dasar luar negara, kedudukan ASEAN, serta isu global seperti konflik China-Amerika Syarikat dan situasi di Myanmar.

"Perbincangan ini memberi peluang untuk menjelaskan kedudukan sebenar Malaysia.

"Mereka adalah golongan pembuat dasar dan akademik yang akan menyebarkan perspektif mereka di peringkat antarabangsa.

"Selepas sesi tersebut, mereka menyatakan penghargaan kerana mendapat gambaran lebih jelas tentang Malaysia," katanya kepada media selepas sesi soal jawab bersama peserta 'Atlantic Council Millennium Leadership Program' di sini.

Perjumpaan 'Atlantic Council Millennium Leadership Program: Malaysia Study Tour 2025' disertai seramai 27 peserta dari pelbagai negara.

Ia diadakan dari 4 hingga 12 Februari.

Program itu mengumpulkan pemimpin muda berusia antara 25 hingga 40 tahun yang dikenali sebagai pemimpin berprestasi tinggi dengan potensi untuk memberi impak global dalam karier mereka.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut hadir bagi menyampaikan ucapan alu-aluan, diikuti dengan sesi 'Meet and Greet' bersama Zambry.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM