ALOR SETAR, 4 November- Kumpulan tari 'Dance Troupe' Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak muncul juara Festival Tari Malaysia Zon Utara 2024.
Pensyarah Tari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI Ealbie Breandent Abinus berkata, hasil latihan dan persembahan yang baik pada festival berkenaan membuahkan hasil yang menggembirakan.
"Kemenangan pada malam ini semestinya memberikan satu kegembiraan dan juga kebanggaan kepada kami.
"Saya mewakili UPSI dan juga Falkulti Muzik dan Seni Persembahan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menyokong kumpulan kami," katanya kepada pemberita selepas festival itu di sini.
Selaku juara, kumpulan tari tersebut menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.
Lebih manis, kumpulan tari itu, turut menyapu bersih kesemua kategori yang dipertandingkan.
Ia termasuklah Kategori Penari Lelaki Terbaik Berkumpulan, Kategori Penari Wanita Terbaik Berkumpulan, Koreografi Rampaian Tradisional dan Koreografi Terbaik Kategori Tarian Kreatif Malaysia.
Sementara itu, naib juara disandang, kumpulan tari Digantari dari UiTM Merbok manakala tempat ketiga milik Izenka Dance Troupe dari Pulau Pinang.
Masing masing membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 dan RM1,000 berserta trofi.
Hadir sama, Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi turut hadir pada festival itu manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Pengurusan negeri Kedah, Datuk Dr Nadzman Mustaffa menyampaikan hadiah kepada peserta.