KUCHING, 12 Mac- Ketua agensi-agensi dan badan berkanun kerajaan di Sarawak diminta lebih proaktif membelanjakan dana awam bagi memastikan kemaslahatan rakyat dapat diselesaikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya berkata ia penting bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih lancar.
Beliau berkata, adalah menjadi satu kesalahan jika dana yang dipohon dan diluluskan tidak dibelanjakan bagi tujuan yang sepatutnya namun dilaburkan bagi urusan lain.
"Itu adalah sikap tidak bertanggungjawab dalam merancang perbelanjaan tetapi jika tidak dibelanjakan akan mengganggu 'cash flow' kerajaan,"katanya.
Itu antara teguran yang didedahkan beliau dalam laporan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Penyata Wang Kewangan dan Anggaran Perbelanjaan Tahunan bagi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Dalam kunjungan hormat lebih sejam itu beliau turut mendedahkan terdapat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai saman tertunggak tidak terkutip berjumlah RM38 juta sejak tahun 2002.
Oleh itu Premier Sarawak telah mengarahkan PBT terbabit untuk mewujudkan sistem kawal selia lebih baik bagi memastikan kutipan dapat dilakukan.
Bagi tahun lepas sahaja jawatankuasa terbabit telah mengadakan 13 mesyuarat khas bersama 26 agensi dan badan berkanun di negeri itu.