Dakwaan jual gajah tidak benar – PERHILITAN

FOTO PERHILITAN

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menafikan dakwaan kononnya 19 ekor gajah dijual kepada pihak tertentu seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gajah dipindahkan sebagai pinjaman bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar berterusan.
  • Langkah ini sebahagian usaha strategik untuk lindungi spesies jika berlaku wabak, bencana dan kurangkan konflik manusia-hidupan liar.
  • Kerjasama membuka ruang pemindahan teknologi dan kepakaran termasuk pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan serta pengurusan habitat moden.
  • Semua gajah dipantau dan dikawal selia oleh NRES serta PERHILITAN melalui rekod, pemeriksaan kesihatan dan laporan berkala.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan.

Menurut beliau, gajah berkenaan tidak dijual, sebaliknya dipindahkan secara pinjaman bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan.

“Pelaksanaan ini merupakan sebahagian usaha strategik jabatan untuk memastikan kelangsungan spesies sekiranya berlaku wabak penyakit atau bencana di habitat asal, selain mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pendekatan itu juga berfungsi sebagai ‘insurans populasi’ bagi mengurangkan risiko kehilangan besar-besaran akibat penyakit berjangkit, kemusnahan habitat atau bencana alam.

Tambahnya, kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran termasuk dalam aspek pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan serta pengurusan habitat secara moden.

Dalam pada itu, semua gajah yang dipindahkan akan terus berada di bawah pemantauan dan kawal selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta PERHILITAN.

“Pemantauan dilakukan secara berterusan melalui rekod pengurusan, pemeriksaan kesihatan dan laporan berkala daripada pihak penerima,” katanya.

PERHILITAN turut memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap usaha konservasi negara.

Sehubungan itu, orang ramai diseru agar tidak menyebarkan maklumat tidak tepat dan sentiasa merujuk kenyataan rasmi daripada NRES serta PERHILITAN bagi mendapatkan maklumat sahih.