BAGAN DATUK, 30 Januari- Pengendali maahad tahfiz dinasihatkan untuk mendaftarkan pusat pengajian mereka dengan kerajaan negeri bagi memudahkan urusan pemantauan dan agihan bantuan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini hanya 1,199 maahad tahfiz yang berdaftar di negara ini.
"Hal ehwal agama adalah perkara mutlak bawah kerajaan negeri itu harus mematuhi titah Tuanku Sultan dan negeri yang tidak ada raja, Yang Dipertua Negerilah yang berkuasa. Jadi sebenarnya kita tidak memaksa dalam perkara ini.
"Kesedaran itu harus timbul dalam kalangan para pewakaf dan pengendali maahad tahfiz untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya didaftarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan SM Imtiyaz Tuminah Hamidi di Kampung Sungai Balai Darat, Bagan Datuk.
Jelas beliau, antara sebab kebanyakan pusat pengajian ini tidak berdaftar termasuk tidak dapat mengikuti syarat atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.