SANDAKAN, 21 Julai - Penduduk yang terjejas ekoran bencana banjir perlu mendaftar sebagai mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), bagi membolehkan bantuan wang ihsan dapat disalurkan dengan sewajarnya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi mangsa banjir yang mendaftar di PPS tetapi tidak menduduki pusat pemindahan yang disediakan, turut akan diberi pertimbangan untuk pemberian bantuan wang ihsan berkenaan.
“Kita menyerahkan (bantuan wang ihsan) kepada 800 mangsa yang menyenaraikan diri mereka sebagai penerima bantuan, tetapi saya diberitahu oleh Pegawai Daerah Penampang terdapat 2,000 terjejas tidak dapat bantuan itu, kerana mereka tidak masuk ke pusat pemindahan sementara, mereka duduk di tempat lain.
“Saya beritahu pada mesyuarat tadi, supaya sebelum mereka menuntut sebarang bantuan wang ihsan mereka hendaklah mendaftarkan diri sebagai mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas menutup Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah dan Konvensyen BN Sabah, di sini hari ini.
Pagi tadi, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, menghadiri sesi taklimat kejadian bencana dan laporan kewangan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah di sebuah hotel di sini.
Beliau berkata selain mengenai bantuan wang ihsan, terdapat beberapa perkara lain yang turut dibincangkan dalam sesi itu termasuk berkaitan empat jambatan runtuh di Sabah.
“Terutama jambatan di Penampang itu, kita akan lakukan pembinaan secepat mungkin,” katanya lagi. - BERNAMA