KUALA LUMPUR, 25 Jun - Edisi ketiga Pameran dan Persidangan Pertahanan serta Keselamatan Siber (CYDES 2025) bakal menjadi pentas utama bagi pelancaran Malaysia Cyber Security Strategy (MCSS) 2025–2030.
Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, CYDES 2025 akan berlangsung dari 1 hingga 3 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
MCSS 2025–2030 merupakan pelan strategik keselamatan siber nasional yang digerakkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sebagai kesinambungan kepada strategi terdahulu bagi tempoh 2020–2024.
"Tahun ini berbeza kerana kita menyelaraskannya dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025. CYDES kali ini lebih menyeluruh, melibatkan penyertaan dari seluruh rantau ASEAN dan rakan global seperti Australia, China, Rusia dan Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Antara topik utama yang dijangka mencuri tumpuan dalam CYDES 2025 ialah ancaman yang dibawa oleh teknologi komputer kuantum terhadap keselamatan siber negara.
"Quantum komputer boleh menjadi ancaman jika disalah guna. Menjelang tahun 2030, teknologi ini dijangka mampu memecahkan sistem penyulitan konvensional termasuk kata laluan. Ini akan menjejaskan keselamatan data kritikal negara," katanya.
Majlis pelancaran rasmi CYDES 2025 akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Acara itu turut menampilkan sesi panel bersama pemimpin industri dan tokoh dasar, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.