KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Dakwaan mengenai pengenalan Cukai Warisan adalah andaian tanpa asas kukuh, demikian tegas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
Anthony ketika berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri tidak pernah membincangkan atau merancang perkara itu hingga menjadi perdebatan hangat bagi sesetengah pihak.
Pada masa sama pihaknya juga menerima pelbagai pertanyaan, termasuk daripada Ahli Parlimen DAP, mengenai perkara itu.
"Ia hanyalah andaian sesetengah penganalisis; tidak semua yang disebutkan oleh penganalisis adalah benar. Apa yang ingin saya sampaikan adalah nasihat saya kepada orang awam, terutama anggota DAP agar tidak mempercayai andaian tersebut.
"Jadi, sentiasa semak fakta tentang perkara tertentu sebelum membuat sebarang kesimpulan atau komen mengenainya," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Anthony berkata setakat ini, tiada perbincangan rasmi mengenai Cukai Warisan dan apa yang diperkatakan hanyalah spekulasi.
Mengenai keputusan muktamad sebarang cukai baharu perlu mendapat kelulusan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan mungkin memperkenalkan lima cukai baru dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.