KUALA LUMPUR, 29 Disember- Pelaksanaan cukai karbon dijangka mampu mentransformasi pasaran karbon Malaysia selain menggalakkan industri mengurangkan pelepasan karbon.
Pengarah Urusan Engie Services Malaysia Sdn Bhd Wong Yin Kee dalam satu kenyataan memaklumkan, cukai karbon dijangka melengkapkan usaha Bursa Carbon Exchange di Bursa Malaysia.
Usaha itu menyediakan isyarat harga telus dan membolehkan syarikat memperdagangkan kredit karbon dengan mengurangkan pelepasan.
"Langkah ini mampu menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran karbon global, selaras dengan mekanisme Artikel 6.4 Perjanjian Paris.
"Mekanisme Artikel 6.4 itu membolehkan negara-negara memperdagangkan pengurangan pelepasan karbon," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu kerjasama antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan cukai karbon itu selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan rancangan melaksanakan cukai karbon untuk sektor besi, keluli dan tenaga menjelang 2026.
Perkara itu merupakan komitmen terhadap matlamat pengurangan pelepasan negara.