fb fb fb fb fb

Cubaan seludup minuman keras, digagalkan Kastam Johor

Datuk Sazali Mohamed

JOHOR BAHRU, 21 April- Kastam Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar minuman keras bernilai RM143,325 tanpa cukai, dari Forest City, Gelang Patah, Johor pada 15 April lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan dan Pematuhan Datuk Sazali Mohamed berkata, ia hasil tangkapan terhadap tiga lelaki yang menaiki kereta berasingan di sekitar Lebuhraya Iskandar Puteri dan Kampung Baru Senai, Senai.

Ketiga-tiga kereta itu dipenuhi minuman keras yang ditutup dengan kain hitam menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Modus operandi kes ini menggunakan kenderaan persendirian dan aktiviti dilakukan pada waktu malam untuk menyeludup keluar minuman keras dari Forest City ke kawasan utama kastam untuk diedarkan kepada awam," kata Sazali.

Dua pemandu lelaki ditahan terbabit dalam kegiatan sindiket itu telah dilepaskan mengikut Seksyen 116 (5) Akta Kastam 1967 dengan wang jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap individu, manakala seorang lagi pemandu melarikan diri.

Tiga buah kereta bernilai kira-kira RM150,000 dan minuman keras tanpa cukai dianggarkan sebanyak RM38,410 turut disita.

Dalam perkembangan lain, sebuah rumah di sekitar Skudai, Johor Bahru turut diserbu kerana dijadikan premis sindiket pembuatan arak haram pada 2 April lalu.

Semakan ke atas premis tidak berpenghuni itu menjumpai sejumlah minuman keras dipercayai tidak berkastam, sejumlah tong drum berisi cecair disyaki alkohol, setem kastam palsu, alatan memproses arak dan lain-lain. 

Sejumlah minuman keras termasuk cukai bernilai kira-kira RM153,111 dan peralatan pembuatan arak haram dianggarkan sebanyak RM5,000 turut disita.

Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dilakukan, sehingga kini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1) Akta Eksais 1976.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI