ALOR SETAR, 15 Februari-Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk beras hancur dari negara jiran.
Ia hasil penahanan sebuah treler di tepi jalan berhampiran Pondok Bukit Lada, Jalan Kubur Panjang-Pokok Sena, Kedah pada 6 Februari lalu.
Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd. Latiff berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan sebuah treler bernombor pendaftaran tempatan yang memasuki Malaysia melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung.
Anggota Kastam kemudian mengekori treler berkenaan dari ICQS Durian Burung sebelum ditahan di tepi Jalan Kubur Panjang-Pokok Sena.
Bagaimanapun ketika ditahan, pemandu treler sempat melarikan diri.
"Hasil siasatan awal mendapati, treler berkenaan masuk ke Malaysia dengan mengikrarkan sebagai tidak bermuatan. Bagaimanapun pemeriksaan lanjut menemukan 840 guni berisi beras hancur seberat 42,000 kilogram bernilai RM105,000. Pihak Kastam tidak menolak kemungkinan beras hancur berkenaan diseludup masuk dari negara jiran untuk dicampur dengan beras tempatan atau beras yang diimport bagi mengaut keuntungan lebih," katanya menerusi kenyataan.
Disember lalu, pihaknya menahan dua lori yang membawa muatan 24,000 kilogram beras bernilai RM60,000 di sekitar Kuala Nerang.
Jelas Nor Izah, aktiviti penyeludupan beras perlu dibanteras secara menyeluruh berikutan ia bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi negara tetapi boleh menjejaskan industri padi dan beras negara serta boleh mengancam pendapatan golongan pesawah.
Orang ramai didesa membantu pihak kastam memerangi penyeludupan itu dengan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.