KUDAT, 30 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memasuki negara ini secara haram menggunakan dua buah bot pancing, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata bot berkenaan didapati meronda sekitar perairan Kudat.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu membawa 43 individu termasuk wanita dan kanak-kanak berumur antara dua hingga 55 tahun.
"Daripada jumlah itu, 35 orang disyaki warga Filipina yang mempunyai dokumen pengenalan diri meragukan, manakala lapan lagi warga tempatan.
"Bot pertama ditahan di kedudukan 7.6 batu nautika dari Tanjung Simpang Mangayau.
"Manakala bot kedua ditahan di kedudukan 6.6 batu nautika dari Pulau Kalutan, Balambangan.
"Kedua-dua bot disyaki bergerak dari Pulau Tawi-Tawi menuju ke Kota Kinabalu," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat dibawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.