SUNGAI PETANI, 4 Februari - Sesi persekolahan sesi 2023/2024 di Kedah akan diteruskan seperti biasa sehingga Rabu ini walaupun cuaca panas melampau melanda beberapa kawasan sekitar negeri itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca ketika ini.
"Saya mohon kepada ibu bapa dan guru agar dalam tempoh berbaki empat hari ini dan sehingga cuti sekolah nanti, pantau keadaan anak-anak kita.
"Kita juga ada garis panduan berkaitan cuaca yang sememangnya dipantau diperingkat sekolah. melalui peringatan tersebut, kita menangani isu sekiranya ada kejadian yang tidak diingini berlaku ketika cuaca panas tersebut", kata Fadhlina kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, di sini.
Pada majlis itu, Fadhlina menyerahkan BAP berjumlah RM45.396 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Bantuan tersebut bakal memberi manfaat kepada 302,640 murid melibatkan 750 buah sekolah di negeri itu.
Lewat petang semalam, METMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di Kedah.
METMalaysia dalam satu hantaran turut memaklumkan, tiga kawasan terbabit adalah Pokok Sena, Pendang dan Baling.
Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.