TAIPING,14 Februari- Penganjuran Perhimpunan Santai Anak Utara (SAU) 2022 yang dijangka berlangsung Sabtu ini mungkin ditangguhkan berikutan peningkatan kes
COVID-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berhubung penganjuran SAU itu yang akan berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort.
Beliau berkata, program berkenaan yang dijangka melibatkan puluhan ribu peserta itu akan dikaji semula selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 yang semakin meningkat.
"Saya difahamkan permohonan telah diluluskan MKN sebelum ini namun, statistik terkini menunjukkan kadar jangkitan Covid-19 meningkat bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh negara.
"Bagaimanapun saya juga difahamkan pengarah MKN akan buat kajian semula sama ada perlu diteruskan atau ditangguhkan program itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini pada Isnin.
Mior Faridalathrash berkata, polis akan bersiap sedia memastikan program tersebut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sekiranya dibenarkan.
"Saya yakin pihak penganjur akan menilai semula program tersebut dengan keadaan jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat dari hari ke hari dalam tempoh beberapa hari ini, jadi saya yakin atas nasihat dan saranan daripada MKN program tersebut tidak akan diteruskan.
"Tetapi kalau mereka gunakan kelulusan pertama untuk teruskan program itu, kita akan memantau dan pastikan program tersebut dilaksanakan SOP yang lebih ketat," katanya.