fb fb fb fb fb

COVID-19: Kerajaan Sarawak peruntuk RM2 juta tempah Paxlovid

Ubat antiviral Paxlovid keluaran Pfizer/FOTO REUTERS

KUCHING, 20 Disember - Kerajaan Sarawak akan membuat pembelian ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan berdepan peningkatan kes COVID-19, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Menurutnya, kerajaan Sarawak memperuntukan RM2 juta untuk tempahan ubat antiviral itu.

"Tempahan Paxlovid adalah yang pertama dilakukan kerajaan Sarawak selepas mendapati ubat itu berkesan bagi merawat COVID-19.

"Ubat itu akan diagihkan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di negeri ini bagi menampung keperluan rawatan dan akan dibekalkan kepada pesakit secara percuma.

"Ketika wabak COVID-19 melanda sebelum ini, kita (kerajaan Sarawak) membeli vaksin bagi menampung keperluan vaksinasi penduduk Sarawak.

"Tetapi kali ini kita akan membeli ubat Paxlovid, dan ia akan menjadi bekalan sebagai persediaan untuk rawatan jika wabak itu serius semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku ‘The Life of Datuk Polycarp Sim Cheng Mong’ di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, tiada garis panduan khas ditetapkan bagi membendung penularan wabak itu.

Tambahnya, Sarawak akan mengikut arahan semasa Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan kes COVID-19.

GRACE AISYAH KEDAYAN