KUALA LUMPUR, 30 April - Leftenan Muda, Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) menjadi penuntut tunggal berbangsa Cina yang menamatkan Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.
Pemuda berusia 25 tahun itu merupakan antara sembilan pegawai dan 60 anggota lain-lain pangkat yang dianugerahkan beret hijau dan pisau komando semasa majlis tamat latihan di Pantai Bertutu Laut di Sungai Udang di Melaka, pada Ahad.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Tentera Darat Malaysia, Ming Youn ketika ditanya Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah, kenapa dia berminat menyertai komando, Ming Youn berkata beliau berminat dengan kerjaya itu dan mahu berkhidmat untuk negara.
"Saya tiada pengetahuan tentang komando ini. Saya mula berkhidmat sebagai anggota 515 Askar Wataniah dan dari situ saya mula mendapat ilmu dan pengalaman dalam dunia ketenteraan sehinggalah saya diperkenalkan dengan komando," kata Ming Youn.
Ming Youn yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
Ming Youn bertekad untuk terus berkhidmat dalam komando dan akan terus menambah ilmu pengetahuan dengan menyertai lebih banyak kursus selepas ini.
"Saya berharap saya boleh terus berkhidmat dan menjadi seorang komando yang berkualiti dan sentiasa menjaga nama baik komando sampai akhir hayat saya," kata Ming Youn.