TANJUNG MALIM, 13 Disember – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melantik Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan, sebagai Profesor Adjung bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember hingga 30 Disember 2026.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata pelantikan tersebut berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran Dr. Nasreen dalam pentadbiran kerajaan dan strategik.
“Pelantikan ini adalah sebahagian daripada usaha UPSI dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan. Dengan pelantikan ini, Dr. Nasreen Khanum akan berkongsi pengalaman dan kepakarannya menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), sekali gus membantu UPSI mencapai aspirasi menjadi universiti pendidikan ulung,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Nasreen mula berkhidmat di Yayasan Perak pada November 2023, sebelum ini pernah memegang jawatan penting seperti Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Ketua Akademik di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), serta Penolong Timbalan Presiden di Agensi Inovasi Malaysia.
"Dengan pelantikan ini juga diharap dapat menggalakkan integrasi antara akademik dan profesional, selain memperkasakan kerjasama antara UPSI dengan pihak industri serta institusi luar.
“Kami yakin Dr. Nasreen Khanum mampu membawa idea-idea baharu yang bermanfaat dalam pengajaran, pembelajaran, dan pembangunan akademik universiti,” tambahnya.
Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI turut menawarkan pelbagai program pengajian bukan pendidikan seperti Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Perakaunan, dan Pengurusan Sumber Manusia di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.