KUALA LUMPUR, 22 Januari- Program ‘Cashless Society Scaling Up’ fasa tiga akan diperluas ke tiga negeri termasuk Perak, Terengganu dan Perlis mulai pertengahan bulan depan.
Ia susulan kejayaan fasa sebelum ini yang melibatkan empat buah negeri termasuk Melaka, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelbagai aktiviti dirancang di tiga negeri berkenaan.
Ini termasuk 27 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak, seterusnya bakal diteruskan ke Terengganu pada suku kedua dan Perlis pada suku ketiga tahun ini.
MCMC turut menjangkakan fasa tiga itu akan menarik kira-kira 25,000 pengunjung, dengan sasaran 56 lokasi komuniti terlibat.
Ini juga akan memudahkan lebih 12,000 transaksi tanpa tunai, serta mendaftarkan 2,000 peniaga digital baharu.
Sehingga kini, program yang dilancarkan pada 2022 itu telah berjaya menarik 44,000 pengunjung dan telah memudahkan lebih 18,000 transaksi tanpa tunai.
Program tersebut bertujuan memperkasa masyarakat luar bandar, warga emas, belia, OKU, dan peniaga untuk menggunakan transaksi digital.