fb fb fb fb fb

Calon SPM 2024 tidak ambil semua peperiksaan berkurang 8,076 orang

Wong Kah Woh/RTM

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis mencatatkan penurunan kepada 8,076 orang pada 2024 berbanding 10,160 calon pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan daripada jumlah tersebut, seramai 6,231 merupakan calon sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berbanding 8,676 calon pada SPM 2023.

"Maka adalah jelas bahawa statistik mencatatkan satu trend penurunan dari segi ketidakhadiran murid," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kangar Zakri Hasan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata antara alasan yang direkodkan oleh KPM berhubung ketidakhadiran calon SPM adalah sudah bekerja, masalah keluarga, bencana dan masalah kesihatan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa ketidakhadiran calon pada peperiksaan itu adalah isu yang serius.

"Melalui pelbagai intervensi, inisiatif dan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPM sepanjang masa ini, jumlah ketidakhadiran calon dalam peperiksaan SPM 2024 telah mencatatkan suatu penurunan," katanya.

Kah Woh berkata, data rasmi kehadiran calon bagi peperiksaan SPM Tahun 2024 akan dikeluarkan pada hari pengumuman keputusan peperiksaan, tidak lama lagi.

SITI AISHAH MD ISA