DAMANSARA, 6 April- Kepimpinan tertinggi DAP masih belum memuktamadkan calon yang akan dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata, parti itu bersama-sama kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat esok untuk memuktamadkan pemilihan calon yang mewakili gabungan itu.
"Kerusi itu akan kekal dipertandingkan oleh DAP, Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan. soal calon masih dalam perbincangan.
"Kami ada mesyuarat esok, dalam mesyuarat itu kita akan kemukakan cadangan-cadangan. Selepas daripada itu memang keputusan akan dibuat," katanya ketika ditemui pemberita pada Program #IkhlasMYNIC Sinari Ramadan, Raikan Syawal di sini.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, beberapa nama akan dikemukakan untuk penilaian, termasuklah daripada sayap wanita dalam mesyuarat yang diadakan di Shah Alam.
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia kerana menghidapi kanser sejak beberapa tahun lepas.