fb fb fb fb fb

Cakna perkembangan, elak sebar berita palsu - Fahmi

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 21 Ogos- Semua pihak digesa supaya tidak menyebarkan berita palsu serta tidak mudah terpengaruh mengenai penularan jangkitan cacar monyet (Mpox) dalam negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara itu berikutan imej tular mengenai dakwaan Mpox kini merebak di Singapura.

Bagaimanapun sekiranya terdapat isu yang mengelirukan, maklumat berkenaan boleh disemak dengan sumber disahkan termasuk pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"...ataupun sekiranya kita menerima maklumat, kita perlu lakukan sedikit pengesahan. Adakah maklumat itu daripada sumber rasmi dan sahih. Kita risau dengan penyebaran mesej menerusi aplikasi media sosial ia mengundang salah faham masyarakat.

"...maklumat Yang disampaikan merujuk kepada kementerian, dalam kes ini, KKM telah menafikan perkara itu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini.

Dalam pada itu Fahmi tidak mahu penyebaran maklumat yang tidak sahih mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat seterusnya menimbulkan rasa panik.

Semalam KKM menerusi laman rasmi Facebook tampil menjelaskan imej yang ditularkan bukan imej kes Mpox sebaliknya merupakan imej mangsa kecederaan peluru tabur seperti yang disiarkan dalam artikel berita daripada satu laman sesawang luar negara pada 17 Sept 2022.

Pada 15 Ogos lepas, KKM telah mengesahkan tiada kes baharu Mpox dilaporkan dalam negara setakat ini, meskipun berlaku peningkatan kes penyakit tersebut di rantau Afrika baru-baru ini. 

KKM memaklumkan di Malaysia, jumlah keseluruhan Mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir pada November 2023.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI