fb fb fb fb fb

Caj tambahan upah potong ayam dipantau

PUTRAJAYA, 19 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau peniaga yang mengenakan caj tambahan untuk upah memotong ayam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemantauan itu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengenakan caj tidak berpatutan.

Bagaimanapun jelasnya, pengenaan caj tambahan upah potong itu tidak termasuk dalam harga kawalan.

"Kita difahamkan ini berlaku dan sebenarnya upah ini tidak termasuk dalam harga kawalan. Cuma nak beritahu kalau upah itu boleh dikatakan agak berpatutan mungkin kita pun terima, yang mana kata tidak berpatutan casnya sekilo lebih RM1, itu memang agak tinggi kepada pengguna. Jadi walaupun upah itu kita tidak dalam harga kawalan kita, kita kawal juga, kita nak tentukan harga ayam tu tidak boleh la terlalu tinggi dengan harga yang telah kita tetapkan sekilo RM8.90," kata Alexander di sini.

(Alexander bercakap dalam sidang media selepas
Pelancaran Logo Barang Kawalan dan Barang Subsidi serta Perhimpunan Bulanan di sini)

Terdahulu, media melaporkan mengenai keluhan pengguna di sekitar Johor Bahru apabila peniaga ayam mengenakan caj tambahan.

Sementara itu Alexander turut memaklumkan bekalan ayam di pasaran tidak akan terjejas berikutan penutupan sebuah kilang pengeluaran di Jasin, Melaka hujung minggu ini.

Pihak industri telah memberi penjelasan kepada KPDNHEP bahawa penutup itu disebabkan berat ayam yang tidak mencapai standard untuk dipasarkan iaitu 1.8 kilogram.

"Sebab biasanya ayam ini bila dihantar ke pasaran tiba masanya ayam ini ada usia dia lah tertentu di ladang. Jadi kalau berat ayam itu tidak cukup jadi itu boleh timbulkan masalah lain kerana mereka ada beritahu untuk tutup dua hari. Bukan kekal tutup. Jadi tidak akan jejaskan bekalan di pasaran," katanya lagi.

Tambahnya lagi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang dalam proses menyiasat isu berkaitan penjualan ayam di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2020.

Siasatan itu mengambil sedikit masa untuk dilengkapkan tetapi ia akan dibentangkan pada Julai kepada beliau dan kemudian ia akan dikemukakan kepada kerajaan.

Media Baharu