SEREMBAN, 8 November- Caj RM1 bagi pembelian tiket secara dalam talian untuk perkhidmatan bas ekspres Seremban- Kuala Lumpur telah dimansuhkan bermula 2 November lepas.
Menurut Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar, langkah itu diambil susulan aduan diterima daripada pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari untuk perjalanan ke tempat kerja.
Bagaimanapun, caj fasiliti sebanyak 70 sen pula sedang dipertimbangkan untuk pengurangan atau pengecualian sehingga fasiliti siap sepenuhnya.
"Maka kita telah berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan mereka telah pun meminta kepada operator untuk memansuhkan caj berkenaan dan juga cas fasiliti 70 sen itu ditangguhkan sehingga fasiliti ini siap.
"Kita melihat caj tersebut tidak adil dikenakan kepada para penumpang dan cas tersebut telah dikembalikan kepada RM8 untuk Seremban ke kL.
Menurut Arul, sebelum ini, pihaknya mendapat aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan tambang bas Seremban-Kuala Lumpur apabila bayaran tambahan caj dalam talian sebanyak RM1 dan Caj Fasiliti 70 sen dikenakan bermula 1 November lalu selepas pelaksanaan Sistem Jualan Tiket Bas Secara Berpusat atau Centralised Ticketing System (CTS).
Sementara itu, rata-rata pengguna yang ditemui turut menyambut baik penambahbaikan tersebut yang pastinya mengurangkan kos perbelanjaan mereka yang menggunakan perkhidmatan bas ekspress Seremban- Kuala Lumpur setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Seorang pengguna perkhidmatan awam itu, Omar Abdullah melihat pemansuhan caj berkenaan sebagai sesuatu yang positif buat pengguna dan syarikat pengusaha bas itu sendiri.
"Mungkin lebih ramai lagi pengguna akan gunakan online beli tiket secara online dia akan meningkatkan jualan online", katanya yang ditemui di sini.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) juga telah melantik sebuah syarikat untuk kerja-kerja menaiktaraf Terminal 1 Seremban dengan penyediaan beberapa kemudahan yang setaraf dengan terminal di beberapa negeri lain.