fb fb fb fb fb

Cadangan perkenal kawasan khas merokok belum dimuktamadkan

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) pada Mesyuarat Sesi ke-28 CODEX Committee for Fats and Oils (CCFO)

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkenalkan kawasan khas merokok di kawasan sempit masih belum dimuktamadkan lagi.

Namun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada pelbagai pihak untuk memastikan persekitaran harmoni dan bebas asap rokok di kawasan terbabit.

Mengambil contoh premis makanan di Jalan Alor, Bukit Bintang, beliau berkata penekanan diberi kepada keperluan untuk mewujudkan ruang khas tertutup seperti dilakukan di Singapura dan negara maju yang lain.

"Kita adakan libat urus dengan lebih 30 pemilik premis penjaja, kalau ia diminta, kami akan pertimbangkan dan kita lihat kepada praktikaliti, kemunasabahan, perkara itu untuk dilakukan..maksudnya kami mendengar,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Sesi ke-28 CODEX Committee for Fats and Oils (CCFO) di Kuala Lumpur.

CCFO yang dihadiri seramai 140 delegasi daripada 45 buah negara itu membincangkan mengenai langkah-langkah mengurangkan asid lemak trans dan lemak terhidrogen separa dalam makanan selain penetapan standard bagi minyak sayur dan ikan.

Ia turut membincangkan penilaian keselamatan ke atas bahan-bahan dibawa oleh kargo yang akan mengangkut lemak dan minyak makanan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE