KUALA LUMPUR, 17 Februari- Cadangan memperkenal satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perbincangan dan penyelarasan adalah perlu sebelum pengumuman penuh dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).
"Sebarang keputusan dasar perlu melalui kabinet dan waktu ini belum ada pemakluman dan dibincangkan di Kabinet tentang perkara ini.
"Saya ambil maklum ia telah disebut oleh Datuk Syed Abu Hussein dalam konteks beliau bekerjasama dalam jawatankuasa NACCOL tapi seperti yang Perdana Menteri telah sebut NACCOL akan teliti keseluruhan dan akan buat kenyataan kemudian,"katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di ibu negara hari ini.
Jelasnya, perkara itu perlu diuruskan dengan baik dan penyelarasan perlu dilakukan apabila timbul persoalan daripada pihak industri melibatkan golongan pengusaha, pekedai dan peruncit.
Beliau juga yakin kenyataan Pengerusi NACCOL itu tidak berniat jahat malah ia memperlihatkan hasrat beliau membantu rakyat dengan mengurangkan harga barang.