
KAJANG, 27 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
- Kabinet membincangkan cadangan penubuhan RCI berkaitan isu melibatkan SPRM.
- Perbincangan berjalan lancar dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi.
- Cadangan RCI dilapor dicetuskan selepas saranan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
- Dakwaan menyentuh 'mafia korporat' melibatkan intimidasi dan tekanan ke atas eksekutif serta pemegang saham.
Beliau berkata perbincangan tersebut berjalan lancar dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkara tersebut.
“Kita dah bincang elok tadi, nanti ada kenyataan (akan dikeluarkan),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Kajang, di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilapor akan mencadangkan kepada mesyuarat Kabinet supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’.
Dakwaan ‘mafia korporat’ berkisar tentang dakwaan bahawa pegawai kanan SPRM mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.