Cadangan penubuhan MCI perkukuh kerjasama strategik TVET Malaysia–China

FOTO FB ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Cadangan penubuhan Malaysia–China Institute (MCI) berpotensi memperkukuh kerjasama strategik dua hala, terutama dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi antara Malaysia-China.

Menerusi perkongsian di Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan bersama-sama Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, hari ini.

Perbincangan turut melibatkan kerangka kerjasama pembangunan modal insan, latihan pengajar, sokongan peralatan dan kemahiran teknikal, termasuk keperluan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke MCI.

“Pada peringkat awal, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk, sebelum pembangunan kampus tetap baharu yang akan dibina di atas tanah seluas 60 ekar nanti.

“Institut ini disasarkan untuk menampung sehingga 2,000 orang pelajar dengan tumpuan kepada TVET berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi Malaysia dengan China.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 18 bidang TVET telah dikenal pasti untuk pelaksanaan awal antaranya melibatkan bidang automotif, kenderaan elektrik, automasi industri, tenaga solar, robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan agroteknologi.

“Sebagai langkah ke hadapan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di samping melaksanakan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor-sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa hadapan,” katanya lagi.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan