fb fb fb fb fb

Akta Saraan Hakim Syarie perlu diwujudkan segera - PM

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 15 Julai- Kerajaan akan menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan institusi Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat keperluan yang tinggi bagi mewujudkan keseimbangan antara skim perkhidmatan kehakiman syariah dan perkhidmatan sivil.

Jelas Anwar, ketika ini, skim perkhidmatan syariah mengikut skim biasa di bawah perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

"Insya-Allah, kita minta Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) segerakan untuk diangkat supaya Akta Saraan Hakim Syarie dapat ditingkatkan.

"Saya ini mudah saja, berunding baik-baik, selesai," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Anwar, cadangan itu dipertimbangkan bagi memastikan tiada lagi pandangan yang merendahkan status Hakim Syarie, sekali gus diharap memberi kekuatan dan keberanian kepada mereka untuk mengaplikasikan perundangan dengan lebih berwibawa.

SITI AISHAH MD ISA