fb fb fb fb fb

Cabul kehormatan rakan kerja, bekas pegawai MPKBBRI mengaku tidak bersalah

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 31 Mac- Seorang bekas pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKBBRI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Syahrul Nizam Shuib, 45 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, bekas Penolong Pengarah Perkhidmatan itu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita terbabit di pejabat Bahagian Perkhidmatan MPKBBRI, kira-kira pukul 9.30 pagi, 12 Oktober 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dituduh melakukan perkara sama di pejabat yang sama kira-kira pukul 9.30 pagi pada 26 Oktober 2023.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Fariduddin Mat Noor.

Sementara itu, Muhammad Fariduddin dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin minimum kepada anak guamnya selepas Syazalia mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Menerusi rayuan itu, peguambela yakin tertuduh tidak akan menganggu mangsa, keluarga serta saksi kes selain tertuduh masih menanggung seorang isteri, dua anak serta ibu bapa yang sudah uzur.

Mahkamah juga diberitahu bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang pekerja yang pernah beberapa kali menerima anugerah perkhidmatan cemerlang sepanjang 23 tahun berkhidmat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan termasuk syarat tambahan tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh membayar jaminan yang dikenakan dan Majistret kemudiannya menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM