KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tidak memperbaharui Sijil Perakuan (COA) GIAAN Flying Academy Sdn. Bhd. (GFA) yang akan tamat pada 31 Oktober 2024.
Ia disebabkan ketidakmampuan akademi latihan penerbangan itu menangani hasil dapatan beberapa siri audit yang telah dilaksanakan oleh CAAM selaras dengan peruntukan bawah peraturan 189, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Berikutan itu, GFA tidak lagi diperakukan untuk beroperasi sebagai Organisasi Latihan. Diluluskan (ATO) dan tidak boleh melaksanakan sebarang kursus latihan yang disenaraikan di bawah spesifikasi latihan COA.
CAAM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu diambil ekoran ketidakmampuan GFA menangani hasil dapatan audit pembaharuan yang dilaksanakan CAAM pada Disember 2023 berkaitan pematuhan ATO dan isu keselamatan.
Susulan itu, GFA telah digantung sementara selama 90 hari bermula 29 Disember 2023 hingga 28 Mac 2024.
"Selepas tamat tempoh penggantungan itu, GFA diberi peluang untuk menangani hasil dapatan audit dengan bersyarat selama enam bulan bermula 29 Mac 2024.
"Walau bagaimanapun, GFA masih gagal membetulkan kesemua dapatan audit tersebut semasa proses audit pembaharuan sijil yang dilaksanakan pada Julai 2024 dan seterusnya. menjejaskan pematuhan GFA terhadap keperluan yang ditentukan dalam Civil Aviation Directive (CAD) 1011-ATO.
"Sehubungan itu, CAAM mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui Sijil Perakuan GFA yang berakhir esok," menurut kenyataan tersebut.
Jelas CAAM, sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia, pihaknya komited dalam memastikan hanya syarikat pengendali yang mematuhi segala peraturan dibenarkan untuk beroperasi.