fb fb fb fb fb

CAAM sahkan pesawat Cessna terhempas di Felda Gunung Besout

FOTO JBPM PERAK

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kejadian membabitkan sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan nombor pendaftaran 9M-ADA yang terhempas berhampiran Felda Gunung Besout, Sungkai, Perak hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat kendalian Layang Layang Flying Academy membawa dua orang yang terselamat dalam kejadian itu, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 7.54 pagi, dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima transmisi maklumat terakhir dari pesawat itu semasa ia berada di Slim River pada pukul 9.35 pagi.

Beliau berkata, pengawal bertugas telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja pesawat itu gagal membuat laporan berhubung kedudukan di Bidor.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KLARCC) di KLATCC telah diaktifkan pada 10.15 pagi sejurus menerima maklumat mengenai nahas untuk penyelarasan operasi menyelamat, dan kedua-dua mereka telah diselamatkan,” katanya.

"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bawah Kementerian Pengangkutan, selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016,"katanya dalam satu kenyataan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE