fb fb fb fb fb

Kes bunuh diri, KKM tingkat rawatan dan bantuan kaunseling

Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Isu kesihatan mental akan diangkat sebagai agenda penting bagi menterjemah keprihatinan kerajaan khususnya dalam menangani peningkatan kes cubaan bunuh diri yang semakin kritikal dalam kalangan remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pelbagai langkah diambil untuk membantu individu yang mengalami permasalahan tersebut.

Antaranya, menyediakan Perkhidmatan Rawatan Kesihatan Mental di lebih 1,000 fasiliti Kesihatan Primer, memperluas perkhidmatan kaunseling dengan menempatkan 200 Kaunselor Secara Kontrak (CFS) di 167 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan membangunkan modul MyMinda dalam aplikasi MySejahtera. 

Ini termasuk meningkatkan akses perkhidmatan rawatan dan bantuan kaunseling dalam talian.

"Salah satu kaedah yang kami perkenalkan adalah memperkenalkan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental ataupun talian HEAL 15555, mudah untuk kita ingati...di mana kita menyediakan perkhidmatan kaunseling.

"Kita juga mendapati sejak tahun 2022 terdapat hampir 317 cubaan bunuh diri dalam kalangan remaja, juga dewasa dapat kita selesaikan.. syukur alhamdulillah, tiada tingkah laku yang menjurus kepada bunuh diri berlaku melalui panggilan talian HEAL tersebut," katanya di Dewan Negara di sini ketika menjawab soalan Senator, Datuk Nelson W Angang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM